KULIM - Gara-gara hasrat untuk berkahwin dengan lelaki dicintai tidak direstui anak-anak, seorang warga emas berumur 75 tahun lari meninggalkan rumah untuk bertemu kekasihnya di Sik, empat hari lalu.
Seorang anak wanita itu yang enggan dikenali berkata, ibunya sering dilihat mengelamun dan termenung.
Setelah diajukan soalan, dia memberitahu hasratnya mahu berkahwin.
Menurutnya, pada mulanya, hasrat si ibu tidak ditentang keluarga, tetapi setelah mendapati umur kekasihnya jauh lebih muda daripadanya, anak-anak tidak bersetuju memandangkan warga emas itu ada penyakit darah tinggi dan kencing manis.
"Niat mak untuk bernikah semula itu kami setuju, tetapi biarlah dengan lelaki yang seusia dengannya.
"Sekarang ini mak berumur 75 tahun manakala kekasihnya 42 tahun.
"Sekiranya mereka menikah, ini akan mendatangkan kesulitan kepada anak dan waris untuk memanggilnya bapa. Mendengarkan itu, mak mungkin berkecil hati,” katanya.
Menurutnya, setelah mendapati cintanya terhalang, warga emas itu mengambil keputusan membawa diri.
Dia dikatakan keluar dari rumah menaiki teksi menuju ke Sik.
"Keluarga puas berusaha mencari mak di sana, tetapi gagal dan akhirnya kami membuat laporan polis," katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song :(gambar) :berkata, terdapat beberapa kejadian lari dari rumah yang tidak dilaporkan kepada polis.
“Saya meminta kerjasama orang ramai supaya membuat laporan sekiranya ada ahli keluarga mereka lari dari rumah atau hilang. Dengan adanya laporan, polis boleh membantu mencari ahli keluarga yang hilang.
"Kita harus peka dan cuba mendalami masalah dialami ahli keluarga,” katanya.
Apapaun, kisah cinta nenek ini jika dapat direalisasikan hingga diijab kabul mungkin tidak jauh bezanya dengan cinta Nek Wok, atau nama sebenarnya, Wook Kundur, 108, dari Besut, Terengganu yang juga memilih Mohd Noor, 39, lelaki jauh lebih muda sebagai suami.
Kisah cinta unik pasangan yang mempunyai perbezaan umur yang jauh itu pernah menggemparkan negara dan mendapat perhatian media.
IPOH - Seorang pegawai kanan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan mengemukakan invois palsu membabitkan nilai keseluruhan lebih RM500,000 bagi pembelian rangsum segar atau pek makanan tentera, empat tahun lepas.
Zamri Jusoh, 38, seorang leftenan komander di TLDM Lumut dekat sini, didakwa mengemukakan empat invois palsu Landmark Plaza bernilai RM520,852,99 bagi pembelian rangsum segar pada 2006, ketika bertugas sebagai pegawai bekalan di Kapal Diraja Sri Indera Sakti.
Hakim Noor Hayati Mat membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan suratan pemalsuan sebagai tulen, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Ketua Unit Pendakwaan dan Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Mahamad Sukri Abu Seman manakala Zamri diwakili peguam Norashikin Zainuddin.-BERNAMA
Kempunan kereta baru
SEREMBAN – Hasrat seorang lelaki untuk memiliki sebuah kereta baru berkecai apabila dia ditipu seorang jurujual palsu kononnya bernaung di bawah sebuah syarikat menjual kenderaan di bandar ini.
Mangsa, Teh Boon Thiam, 54, dikatakan membayar sejumlah deposit bagi tempahan kereta jenis Proton Saga kepada seorang jurujual berusia 30-an itu, setahun lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini kenderaan yang diidamkan itu masih belum dimiliki, manakala jurujual terbabit disahkan bukan ejen dilantik syarikat berkenaan serta sudah menghilangkan diri.
Boon Thiam berkata, masalah bermula apabila dia membayar sejumlah RM16,498 kepada jurujual berkenaan sebagai deposit.
Menurutnya, dia membuat pembayaran secara tunai sebanyak tiga kali iaitu Oktober dan November tahun lalu, selain turut membuat pinjaman bank sebanyak RM20,000 untuk membeli kereta itu.
“Selepas menunggu begitu lama, kereta yang ditempah masih tidak muncul dan jurujual itu memberikan berbagai alasan tidak masuk akal berhubung proses mendapatkan kenderaan berkenaan,” katanya.
“Saya terkejut apabila diberitahu jurujual itu bukan ejen syarikat berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Boon Thiam berkata, dia akhirnya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit, lalu membuat aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
“Namun, Mahkamah TTPM Negeri Sembilan baru-baru ini menolak tuntutan saya kerana dua faktor utama iaitu jurujual itu tidak mewakili syarikat terbabit dan tiada penerimaan sebarang resit sebagai bukti pembelian,” katanya.
Menurutnya, dia kini terlalu buntu memikirkan nasib malang menimpanya kerana semua wang yang disimpannya sejak sekian lama lesap begitu saja.
Berikutan masalah itu, Boon Thiam akhirnya membuat aduan di Pusat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang, di sini semalam.
Pegawai Penyelaras pusat berkenaan, Jason Lee berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan ibu pejabat syarikat kenderaan berkenaan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, tindakan itu perlu memandangkan jurujual terbabit kemungkinan masih bergerak aktif melakukan kegiatan penipuan itu.
“Mangsa mendakwa jurujual terbabit dilihat memakai uniform syarikat berkenaan dan turut memiliki beberapa surat tempahan pembelian kenderaan terbabit,” katanya
KUALA LUMPUR - Bangunan Parlimen yang menjadi tempat ahli parlimen bersidang semalam, bocor lagi walaupun selepas dibaik pulih beberapa kali sebelum ini.
Kebocoran berlaku selepas hujan lebat pada pukul 1 tengahari apabila air keluar dari syiling kawasan cafeteria ahli parlimen.
Ini memaksa kakitangan Parlimen segera menutup kawasan terbabit manakala kerja-kerja pembersihan segera dilakukan sambil petugas media sibuk mengambil gambar kejadian itu.
Ini merupakan kejadian keempat sejak kali terakhir belau pada Mac 2008, di bahagian bumbung Dewan Persidangan Dewan Rakyat manakala kejadian kedua di kawasan Bilik Media.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kebocoran kali ini merupakan sesuatu yang tidak disangka memandangkan tiada kebocoran berlaku walaupun berlaku hujan lebat sebelum ini.
"Kita tidak boleh halang, kalau ada saluran yang tidak baik, air pastinya akan mencari jalan untuk turun ke bawah juga," katanya ketika ditemui media, semalam.
Ketika ditanya adakah insiden ini membolehkan bangunan parlimen ditukar ke bangunan baru, Nazri berkata, pihaknya tidak bercadang untuk berbuat sedemikian.
"Kita tidak akan pindah, kita akan tetep berada disini, kita perlu mendapat pandangan pihak yang berkaitan, namun perkara ini belum lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment