Tuesday, November 23, 2010

DIDUNIA MASING MENGEJAR KEUNTUNGAN....TAK KIRA DENGAN APA CARA.....SEBAB NAK KAYA DAN MEWAH HIDUP....MERANA DIAKHIRAT BELAKANG KIRA...

Pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman tujuh hari



SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.
Perintah tahanan reman sehingga 29 November itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.

Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis itu. Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.

-Bernama





PM terima gaji RM22,826.65 mulai 2004 - Nazri



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menerima gaji bulanan sebanyak RM22,826.65 mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan) 2005, mulai 1 Januari 2004.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Timbalan Perdana Menteri pula dibayar RM18,168.15, sementara jemaah menteri menerima RM14,907.20.

"Gaji bulanan setiausaha politik sebagaimana yang ditetapkan dalam Ketentuan Saraan Setiausaha Politik 1980 adalah RM5,709.99 yang juga berkuat kuasa pada 1 Janauari 2004," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan N Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) mengenai penetapan gaji dan semua bentuk elaun yang dinikmati anggota kabinet, setiausaha politik serta jumlah emolumen serta elaun kepada anggota kabinet dari 2005 hingga 2009 di persidangan Dewan Rakyat hari ini. Mohamed Nazri berkata, jumlah gaji tahunan yang telah dibayar kepada anggota kabinet bagi tahun lalu ialah RM5,470,942.40 dan RM5,783,993.60 pada 2008.

Katanya, sejumlah RM5,858,529.60 dibayar pada 2007, manakala RM5,858,529.60 pada 2006 dan RM6,007,601.60 pada 2005.-Bernama



Sita kenderaan tak jelas denda



SUBANG JAYA: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kini dibenarkan menyita kenderaan yang mempunyai jumlah tunggakan kompaun tinggi termasuk bagi kesalahan meletakkan kereta di kawasan larangan, berkuat kuasa serta-merta.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata persetujuan yang dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan negeri itu untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya yang memandang remeh terhadap kompaun PBT.

“Bagi MPSJ, kenderaan yang boleh disita adalah kenderaan yang mempunyai lebih daripada 10 tunggakan atau pengguna yang berdegil melakukan kesalahan sama di kawasan sama, meskipun sudah dikompaun beberapa kali,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ di sini, semalam.
Katanya, keputusan berkenaan dibuat untuk menanam sifat tanggungjawab di kalangan pengguna jalan raya yang berterusan melakukan kesalahan sama setiap hari khususnya kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, pengguna hanya boleh mendapatkan semula kenderaan yang ditunda sekiranya semua bayaran kompaun dibuat.

Selain itu, beliau mengumumkan kompaun minimum bagi kesalahan tempat letak kereta di Subang Jaya dinaikkan RM10 menjadikannya RM50 berbanding RM40 sebelum ini

“Melalui tindakan tegas PBT, saya berharap pengguna jalan raya akan lebih patuh kepada undang-undang,” katanya semalam.

Sementara itu, Adnan berkata, cadangan supaya PBT diberi kuasa menyenaraihitamkan kenderaan yang mempunyai tunggakan kompaun sudah dikemukakan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kini dalam proses perbincangan akhir sebelum diwartakan sebagai undang-undang.

6 lelaki ditahan berhubung kes bunuh peguam



IPOH: Misteri motif pembunuhan kejam seorang peguam terkenal di negeri ini pada 16 November lalu dipercayai bakal diselesaikan dalam masa terdekat susulan penahanan enam lelaki bagi membantu siasatan kes itu dalam satu serbuan di sebuah hotel di Menglembu, dekat sini, awal pagi semalam.
Keenam-enam suspek terbabit yang disyaki menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi persembunyian mereka sejak hampir seminggu lalu, ditahan kira-kira jam 3.45 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 30 tahun kini direman selama seminggu sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Terdahulu, beberapa wakil media yang bergegas ke mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi selepas mendapat maklumat semua suspek akan dibawa untuk mendapatkan perintah tahanan reman, terpaksa menunggu ketibaan suspek selama hampir empat jam.

Semua suspek hanya tiba kira-kira jam 2.20 petang dengan menaiki sebuah van dan dibawa ke kamar mahkamah sebelum Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed membenarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari.

Beberapa individu dipercayai ahli keluarga suspek, cuba menghalang jurugambar merakam wajah mereka, malah dua daripada suspek menutup muka menggunakan baju dan jaket

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang di Desa Rishah dekat sini, G Balasundram, 57, seorang peguam yang sering memberi khidmat percuma kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM), maut ditikam dua lelaki bertopeng dipercayai pembunuh upahan


'Bukan bapaku'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TELUK INTAN: “Saya mengaku wujud kesilapan dan salah faham mengenai kenyataan yang saya laporkan sebelum ini. Dengan kehadiran ahli kumpulan itu hari ini (semalam), ia berjaya merungkai dan menyelesaikan kemelut yang kami sekeluarga hadapi selama ini,” kata Siti, 52, ibu saudara kepada kanak-kanak yatim piatu yang mendakwa anak kepada ahli kumpulan May sebelum ini.
Harian Metro pada 19 November lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikenali sebagai S mendakwa dia anak kepada pemain bass kumpulan rock May, Yus atau nama sebenarnya, Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48.

Bagaimanapun, artis berkenaan sudah membuat kenyataannya sebelum ini dan menafikan dakwaan itu dia tidak mengenali bapa sebenar kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Mohd Noor sebaliknya menganggapnya sebagai peminat tegar kumpulan May dan secara kebetulan mempunyai wajah seirasnya.
Yus bersama vokalis kumpulan berkenaan, Mus atau nama sebenarnya Mustafa Din, 42, mengunjungi keluarga berkenaan petang semalam yang turut disertai ahli keluarga Yus termasuk isteri, Lailatulakma Sabaruddin, 43, tiga anak mereka, Mohd Fitri, 21, Nor Prittysya, 14, dan Mohd Aidil, 7 selain abang Yus, Zulkifli Mohd Madin, 57.

Kunjungan itu bertujuan menyelesaikan kemelut serta salah faham dihadapi kedua-dua pihak selain tidak mahu kanak-kanak malang itu terus mempercayai insan yang dilihatnya dalam poster itu bapanya yang sebenar.

Siti berkata, dia ingin memohon maaf atas salah faham itu dan tidak menyangka perkara itu sudah mengguris hati ramai pihak terutama ahli keluarga Yus sendiri

Katanya, dia sendiri kabur mengenai latar belakang arwah bapa S dan apa yang pasti ia adalah satu salah faham yang perlu dibetulkan segera.

Sementara itu, Yus berkata, dia tidak mahu memanjangkan perkara itu dan mahu ia diselesaikan segera bagi memastikan kekusutan serta dakwaan yang dibuat keluarga berkenaan tidak benar.
Katanya, dia menerima kemaafan yang dibuat keluarga berkenaan selain berharap hubungan yang baru terjalin dapat diteruskan pada masa depan


Tiada hak



SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meminta Kerajaan Pusat menarik balik lesen konsesi yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) jika syarikat itu didapati mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi Kerajaan Selangor kepada rakyatnya menerusi Tabung Budi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Syabas tidak berhak mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang mendapat subsidi daripada kerajaan negeri menerusi tabung yang dilancarkan syarikat itu.

“Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan, mereka hendaklah memulangkannya kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada Syabas. Syabas tidak boleh menggunakan duit subsidi itu. Duit subsidi yang saya gunakan ini ialah duit negeri untuk rakyat.
“Saya akan berbincang perkara ini dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan pihak kewangan negeri sebab dalam perjanjian penswastaan yang dibuat bersama Syabas, kerajaan negeri tidak menyatakan Syabas boleh jalankan usaha ini (mengutip balik kos 20 meter padu air).

“Kita mahu lesen Syabas dirampas jika didapati tidak menjalankan tugas seperti yang dijanjikan dalam perjanjian penswastaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor, di sini.

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lalu membabitkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas

Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

“Syabas bukanlah untuk jaga kebajikan. Adalah sesuatu yang ‘hypocrisy’ untuk katakan dia (Syabas) sekarang bertaubat menolong rakyat... itu bukan tujuannya. Saya akan mengutus surat kepada Syabas sama ada perkara ini melanggar tatacara perjanjian yang kerajaan negeri buat bersama Syabas pada 2004,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment